Sinopsis Bab 7, 8, 9 (Novel Tingkatan 1) 

Novel Destinasi Impian : Sinopsis Bab 7, 8, 9 (Novel Tingkatan 1)

Sinopsis Bab 7

Firdaus berasa seperti semua sendinya bagaikan mahu tercabut. Dia tertanya-tanya dalam dirinya adakah dia bersalah kerana menyakiti hati Azlina? Sedangkan Azlina sering menyakiti hatinya. Firdaus berasakan bahawa Pantai Morib semakin dekat apabila dia terasa hembusan angin pantai yang begitu mendamaikan. Sepatutnya, dia berasa gembira kerana destinasi yang dituju semakin hampir. Kalau diikutkan rancangan awal mereka akan berkhemah di Pantai Morib dan akan bertolak pulang keesokan harinya. Dia tidak tahu bagaimana mahu menghadapi Johari dan Azlina pada malam ini memandangkan dia betul-betul sakit hati akan mereka berdua.

Fikirnya, sekiranya perasaan sakit hatinya masih belum terubat, dia akan meninggalkan mereka. Dia akan meninggalkan basikalnya dan pulang dengan menaiki bas. Dia tidak hiraukan lagi jika datuk menyindirnya nanti. Yang pasti dia telah membuktikan kepada datuknya bahawa dia telah berjaya mengayuh basikal ke Morib. Jika dia pulang dengan menaiki bas, sudah pasti dia dapat menghadiri majlis hari jadi Mazlinda keesokan harinya. Dia melihat jam di tangannya. Sudah pukul 3:00 petang. Ini bermakna sudah 8 jam dia mengayuh basikal. Terbit rasa bangga dalam hatinya kerana dia telah berjaya mengayuh basikal sejauh 50 kilometer. Kemudian, dia teringat akan kawan-kawannya Mokhsin, Sazali, dan beberapa orang rakannya yang lain mahu menunggunya di Pantai Morib. Mereka sengaja memperlekehkan kebolehannya. Mustahil mereka akan menunggunya kerana mereka telah berjanji untuk menonton wayang pada hari itu.

Dia sebenarnya tidak tahu jalan untuk ke Pantai Morib Baru tetapi tidak mahu mengaku kepada Johari bahawa dia tidak tahu kerana perasaan marahnya. Dia ternampak papan tanda ke Pantai Morib Baru. Dia mengikut arah papan tanda tersebut. Tiba-tiba, dia terdengar pekikan yang memanggil namanya. Ternyata kawan-kawannya benar-benar menunggunya di Pantai Morib. Firdaus berasa sangat terkejut. Terbit perasaan bangga dalam dirinya kerana berjaya membuktikan bahawa dia telah berjaya mengayuh basikal ke Pantai Morib. Dia berasa sangat bangga sementelahan pula Azlina dan Johari berada di belakangnya. Firdaus memberitahu mereka bahawa dia terlewat kerana Azlina kerap mahu berhenti rehat semasa dalam perjalanan mereka. Firdaus berbohong dan sangat pasti bahawa mana mungkin kawan-kawannya akan menanyakan Azlina. Kawan-kawannya bertambah bangga akan kebolehan Firdaus.

Kelihatan kawan-kawannya telah mendirikan khemah di tepi pantai bagi menyambut Firdaus. Mokhsin memanggil kawan-kawannya yang berada dalam khemah dan memberitahu bahawa Firdaus telah berjaya menamatkan kayuhannya. Kelihatan Emma, Zarina, dan Mazlinda keluar dari khemah itu. Firdaus sangat terkejut dan gembira apabila dia terpandangkan wajah Mazlinda di situ. Mazlinda menhulurkan setin minuman kepada Firdaus. Firdaus tersenyum bangga. Mokhsin mengajak mereka mandi setelah Firdaus hilang penat. Firdaus memberitahu bahawa kepenatannya telah hilang. Hanya Salim yang mengetahui rahsia hatinya.

Sinopsis Bab 8

Firdaus yang telah terlebih dahulu sampai ke destinasi. Dia tidak mengendahkan Johari dan Azlina. Sebenarnya, Johari dan Azlina sengaja berhenti rehat bagi memberi peluang kepada Firdaus agar sampai ke destinasi terlebih dahulu. Mereka mahu Firdaus berasa bahawa dirinya sememangnya hebat. Mereka membiarkan dahulu Firdaus bersama-sama kawan-kawannya. Biar dia berasa seronok. Johari memberitahu bahawa mereka juga akan disambut nanti. Johari membiarkan Azlina dengan tanda tanya.

Sebaik mereka sampai ke destinasi, Johari dan Azlina menuju ke khemah yang bertentangan dengan khemah rakan-rakan Firdaus. Di sana, mereka disambut oleh kawan Johari, iaitu Kasman. Johari memperkenalkan Kasman kepada Azlina. Kasman ialah kawan Johari di UPM. Kasman berasal dari Kampung Endah yang tidak jauh dari situ. Azlina memberitahu bahawa dia seakan pernah mendengar nama kampung itu. Menurut Kasman kampungnya terkenal kerana menjadi kampung tercantik di Malaysia. Azlina teruja untuk melihat kecantikan kampung Kasman seperti yang didengarnya. Kasman memberitahu bahawa seorang lagi rakan mereka, iaitu Tamrin berada dalam khemah. Dia ketiduran kerana penat menunggu Johari.

Kasman memperkenalkan adiknya yang cantik kepada mereka, iaitu Kasmadiana. Kasmadiana diajak untuk menjadi teman kepada Azlina. Kasmadiana juga ditugaskan untuk memasak. Sebelum Kasmadiana membancuh air, Johari dan Azlina meminta diri untuk menjenguk Firdaus di khemah rakan-rakannya. Johari mengucapkan tahniah kepada Firdaus kerana berjaya sampai ke destinasi. Dalam keadaan teragak-agak, Firdaus menyambut salam Johari. Azlina juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Firdaus. Mereka menanyakan sama ada Firdaus mahu mengikut mereka atau tidak. Firdaus memberitahu bahawa dia mahu bersama-sama dengan kawan-kawannya.

Azlina berkecil hati apabila Firdaus tidak menghiraukan mereka apabila bertemu dengan rakan-rakannya. Johari memberitahu bahawa Firdaus berasa seronok apabila bertemu rakan-rakannya. Oleh sebab itu, dia tidak menghiraukan mereka. Johari lihat sudah tidak kelihatan api dendam dan amarah dalam diri Firdaus. Mereka berdua ke khemah Kasman. Mereka telah dihidangkan dengan air teh dan emping goreng. Menurut Kasmadiana, emping goreng itu dibawa dari rumah. Menurutnya lagi, kampungnya sememangnya terkenal dengan perusahaan membuat emping. Azlina teruja untuk melawat kampung mereka.

Sinopsis Bab 9

Sambil duduk-duduk di tepi pantai, Kasmadiana memberitahu bahawa dia amat mengagumi kehebatan Azlina berbasikal sehingga ke Morib. Lebih kurang 20 meter dari mereka, Johari, Tamrin, dan Kasman sedang mandi-manda. Tidak jauh dari situ pula, Firdaus dan kawan-kawanya juga sedang mandi-manda. Azlina menanyakan Kasmadiana sama ada abangnya tidak pernah mengajaknya berbasikal atau tidak. Menurut Kasmadiana, abangnya selalu mengajaknya tetapi dia berasa malu untuk berbasikal. Menurut Kasmadiana lagi, Tamrin pernah berbasikal ke Pantai Bagan Lalang, iaitu pantai tempat empat orang mati lemas semasa menjala baru-baru ini. Jam sudah menunjukkan pukul 7:00 malam tetapi cuaca di tepi pantai masih lagi kelihatan terang kerana menurut Kasmadiana pantai merupakan tempat terakhir menerima cahaya matahari sebelum matahari tenggelam. Azlina menanyakan Kasmadiana perbezaan antara Pantai Morib Baru dengan Pantai Morib Lama. Menurut Kasmadiana, Pantai Morib Lama pantainya bertembok bagi menghalang hakisan manakala Pantai Morib Baru mempunyai pantai yang landai dari darat terus ke laut. Jadi, sekiranya mereka hendak berkhemah Pantai Morib Baru lebih sesuai. Kemudian, kelihatan Sazali dan Mokhsin berjalan ke arah mereka. Mereka datang untuk mengucapkan tahniah kepada Azlina.

Azlina memperkenalkan Kasmadiana yang bersekolah di Sekolah Menengah Batu Laut kepada mereka. Mereka juga ingin meminta kepastian sama ada Firdaus tiba lewat ke Pantai Morib disebabkan oleh Azlina yang sering berhenti rehat. Azlina menanyakan sama ada mereka mempercayai kata-kata Firdaus atau tidak. Azlina telah menyangkal dakwaan Firdaus. Mereka berasa tertipu. Mereka akan memaksa Firdaus bercakap benar nanti. Mereka akan mencampakkan Firdaus ke laut kerana membohongi mereka. Apabila balik ke khemah, Azlina menceritakan kepada Johari. Johari mengatakan bahawa Firdaus borbohong kerana mahu rakan-rakannya mengatakan dia seorang yang hebat. Azlina menceritakan juga rancangan Mokhsin untuk mencampakkan Firdaus ke laut. Johari menyokong cadangan mereka itu kerana dia mahu Firdaus tahu bahawa dia akan mendapat ganjaran yang menyakitkan jika berbohong. Kedengaran suara azan dilaungkan oleh Tamrin di dalam khemah dan menimbulkan perasaan takut dalam diri Azlina kepada Allah SWT.

.

Leave a comment