Sinopsis Bab 4, 5, 6 (Novel Tingkatan 1) 

Novel Destinasi Impian : Sinopsis Bab 4, 5, 6 (Novel Tingkatan 1)

Sinopsis Bab 4

Johari sedar bahawa Azlina dan Firdaus dalam keletihan. Dia tidak berhasrat untuk mendera sepupunya itu telapi dia mahu mereka menjadi remaja yang lasak, pandai berdikari, dan berani sebagai bekalan kepada mereka yang akan menghadapi hidup yang masih panjang. Dia juga mahukan mereka menghargai kepayahan ibu bapa mereka dalam membesarkan mereka. Pelbagai halangan yang akan ditempuhi oleh mereka semasa dalam perjalanan, begitulah dalam kehidupan harian. Kita tidak tahu akan apa-apa yang akan berlaku pada masa depan.

Antara Firdaus dengan Azlina terlalu banyak perbezaan. Firdaus anak tunggal lelaki dalam keluarganya. Dia dimanjai dan segala kemahuannya dituruti oleh ibu bapanya memandangkan sebelum ini ibu bapa mereka mempunyai empat orang anak perempuan sebelum memiliki Firdaus. Firdaus juga tidak suka dikritik tetapi dia gemar mengkritik orang lain. Hal ini berbeza daripada Azlina. Azlina seorang yang lasak, berstamina, lebih peka, dan kritis terhadap apa-apa yang dilihatnya. Azlina juga suka mengkritik dan tidak melenting apabila dikritik.

Kini, mereka telah melalui jalan di hadapan Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad dan Sekolah Kebangsaan Teluk Datuk di sebelah kiri mereka. Kemudian, mereka melintasi Stadium Jugra di sebelah kanan dan akan tiba di Banting. Johari memberitahu mereka bahawa mereka telah pun kalah dengan datuk mereka. Menurutnya, datuk ke Morib pada sebelah pagi dan balik pada sebelah petang sedangkan mereka sudah hampir pukul 3:00 petang masih belum sampai di Morib. Banyak masa mereka dibuang untuk berehat. Menurutnya lagi, mereka akan tiba di Morib, 15 kilometer lagi. Firdaus sudah mengeluh. Johari memujuk agar mereka menghabiskan kayuhan kerana mereka telah mengayuh basikal sejauh 40 kilometer. Firdaus merungut keletihan. Azlina memerli Firdaus dan menyuruhnya menaiki bas untuk ke Morib dan dia akan dipanggil pengecut. Firdaus berang dengan Azlina.

Mereka meneruskan kayuhan. Selepas melepasi Balai Polis Banting dan sebelum melintasi Hospital Daerah Banting dan Sungai Lang, Johari memberhentikan basikalnya. Johari menunjukkan rumah yang berada di seberang jalan dan lengkap dengan gelanggang badminton. Menurutnya, rumah itu ialah rumah jaguh-jaguh badminton negara. Firdaus tidak menyenangi tindakan Johari yang berhenti rehat itu dan dia sememangnya tidak berminat dengan sukan. Menurutnya, semua maklumat itu boleh didapatkan melalui bacaan. Azlina berang dengan Firdaus. Menurutnya, Firdaus hanya mementingkan bacaan yang berbentuk hiburan yang melekakan. Firdaus mempertahankan dirinya. Menurutnya lagi, nyanyian bukan sekadar lagu-lagu hiburan tetapi ada juga lagu yang berunsur patriotik. Azlina mengiyakan kata-kata Firdaus namun membidasnya kerana Firdaus bukannya meminati lagu-lagu patriotik. Firdaus terdiam dan mereka meneruskan kayuhan.

Sinopsis Bab 5

Firdaus benar-benar kesal kerana mengikuti Johari dan Azlina berbasikal ke Morib. Dia sememangnya berada dalam persimpangan untuk membuat pilihan sama ada untuk mengikuti Johari dan Azlina berbasikal ke Morib atau menyertai rakan-rakannya untuk menonton wayang pada hari Sabtu itu. Tambahan pula, menurut Salim rakan baiknya, Mazlinda gadis yang diminatinya akan turut serta. Sekiranya dia tidak menyertai Johari dan Azlina, dia akan digelar pengecut. Azlina sememangnya sering menyakiti hatinya. Sekiranya dia menyertai rakan-rakannya, sudah tentu mereka kini sedang bergembira. Dia juga tidak dapat menghadirkan diri dalam majlis hari jadi Mazlinda keesokan harinya kerana dia masih berada di Morib pada ketika itu. Firdaus sangat menyesal dan sakit hati.

Azlina sudah dapat menyaingi Firdaus dan dia berjaya memotong Firdaus. Azlina sempat mencabar Firdaus agar berlumba dengannya memandangkan destinasi yang akan dituju oleh mereka sudah semakin hampir. Firdaus amat sakit hati akan Azlina. Tiba-tiba, sebuah lori memotong mereka. Azlina telah terbabas ke tepi jalan dan terlanggar lubang yang dalam dan terjatuh. Firdaus tidak mengendahkan Azlina. Johari menerpa ke arah Azlina dan mendapati luka Azlina agak dalam. Firdaus memerli Azlina kerana dia sering menyakiti hatinya.

Johari kesal kerana Firdaus langsung tidak menghiraukan keadaan Azlina malahan berdendam dengan Azlina. Menurut Johari, Azlina sering menyakiti hati Firdaus kerana mahu dia menjadi seorang lelaki yang berani. Johari mengingatkan bahawa persaingan yang disertai dengan dendam kesumat bukanlah persaingan yang sihat malah merugikan mereka. Firdaus mengatakan bahawa Johari seorang yang pilih kasih antaranya dengan Azlina dan dia meneruskan perjalanannya.

Sinopsis Bab 6

Johari memberitahu Azlina bahawa Firdaus benar-benar marah akan mereka. Azlina memaklumkan bahawa Firdaus sememangnya berperangai begitu jika dia kepenatan. Dia mudah marah. Johari menanyakan keadaan luka pada tangan Azlina. Menurut Azlina lukanya tidak parah. Lagipun sebagai atlet dia sudah biasa dengan kecederaan. Kelihatan Firdaus sudah berada jauh di hadapan. Mereka membincangkan sikap pemandu di Malaysia yang menyebabkan banyak kemalangan berlaku dan banyak nyawa yang telah melayang akibat kemalangan jalan raya.

Johari khuatir apabila memikirkan sikap Firdaus. Nampaknya, Firdaus mendendami adiknya, Azlina. Dia langsung tidak membantu Azlina yang tercedera tadi. Johari semakin bimbang. Dia cuba menyaingi Firdaus di hadapan dan cuba mengajaknya berborak namun Firdaus mendiamkan diri sahaja. Johari memberitahu Firdaus agar yang mereka akan berhenti di Morib Baru bukannya Morib Lama. Dia memberitahu arah jalan ke sana. Firdaus berang dan mengatakan bahawa dia sememangnya tahu jalan ke sana. Johari membiarkan Firdaus. Dia akan bercakap dengan Firdaus apabila mereka sampai di Morib nanti. Fikirnya lagi, api dendam Firdaus kemungkinan akan dingin sesudah sampai di Morib dan apabila kepenatannya sudah hilang. Dia berjanji akan memadamkan api dendam dalam hati Firdaus nanti.

.

Leave a comment